Kejohanan Olahraga di Malaysia



A) Sukan Olimpik
Temasya Sukan Olimpik merupakan temasya sukan yang teragung dan paling berprestij di dunia selain daripada Kejohanan Bolasepak Piala Dunia. Temasya yang diadakan selama empat (4) tahun sekali ini berjaya menarik penyertaan atlet-atlet terbaik dunia dan kebiasaannya banyak rekod-rekod dunia yang dicipta di temasya tersebut.
Penyertaan Malaysia di Sukan Olimpik
Kontinjen Malaysia telah menyertai temasya Sukan Olimpik sejak penyertaan pertama di Sukan Olimpik Melbourne 1956 kecuali pada tahun 1980 di mana negara telah menyertai gagasan negara-negara lain memulaukan Sukan Olimpik Moscow 1980. Berikut merupakan rumusan statistik temasya sukan Olimpik sehingga tahun 2012.
Pencapaian Kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik
TAHUN
PENCAPAIAN
ATLET
ACARA
1992

(Barcelona)
1 gangsa
Razif dan Jalani Sidek
Badminton: Bergu Lelaki
1996

(Atlanta)
1 perak

1 gangsa
Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock

Abd Rashid Sidek
Badminton: Bergu Lelaki

Badminton: Perseorangan Lelaki
2008

(Beijing)
1 perak
Lee Chong Wei
Badminton: Perseorangan Lelaki
2012

(London)
1 perak

1 gangsa
Datuk Lee Chong Wei

Pandalela Rinong Pamg
Badminton: Perseorangan Lelaki

Akuatik - Terjun: 10m platform wanita





B) Sukan Asia
Temasya Sukan Asia yang mula diperkenalkan pada tahun 1951 di New Delhi adalah merupakan temasya yang diadakan setiap 4 tahun sekali di mana temasya ini dianjurkan oleh Majlis Olimpik Asia (OCA). Cetusan bagi mengadakan temasya sukan di kalangan negara-negara Asia bermula pada tahun 1948 apabila 13 buah negara perwakilan Asia menyertai Sukan Olimpik di London.
Sukan Asia telah berkembang dengan pesatnya sehingga menjadi temasya kedua terbesar di dunia selepas Sukan Olimpik dari segi bilangan jenis sukan yang dipertandingkan.  Bermula dari 6 jenis sukan, 11 buah negara dan 489 atlet, kini ianya telah meningkat kepada 38 jenis sukan dan 44 buah negara OCA pada Sukan ASIA ke XIV, di Busan 2002.
Malaysia mula mengambil bahagian sejak tahun 1954 dan dikenali sebagai Malaya pada ketika itu. Secara amnya, di temasya Sukan Asia 1994, kontinjen negara menyertai 17.51% diikuti 24.66% acara di Sukan Asia 1998 daripada jumlah keseluruhan acara yang dipertandingkan.  Walau bagaimanapun, pada Sukan Asia XVI, di Guangzhou, Malaysia telah mengambil bahagian dalam 186 acara daripada jumlah 476 acara yang dipertandingkan dan ini adalah merupakan penyertaan acara terbesar kontinjen Malaysia ke Sukan Asia.
Walaupun Malaysia sudah menyertai Sukan Asia pada tahun 1954, namun pungutan pingat negara hanya bermula di Sukan Asia III, 1958 di Tokyo, Jepun. Berikut merupakan  rumusan penyertaan dan prestasi kontinjen negara di temasya Sukan Asia.




C) Sukan Komanwel

 

Temasya Sukan Komanwel yang mula diperkenalkan sejak tahun 1930 adalah merupakan temasya yang kedua pentingnya selepas Sukan Olimpik diadakan setiap 4 tahun sekali di mana temasya ini dianjurkan oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF).  Temasya ini mempertemukan kesemua negara bekas jajahan British dari 5 buah benua.
Malaysia mula mengambil bahagian sejak tahun 1950 melalui nama Malaya pada ketika itu di mana kejohanan tersebut dikenali dengan nama British Empire Games.  Pada tahun tersebut sebanyak 2 pingat emas, 1 perak dan 1 gangsa telah dimenangi yang kesemuanya melalui sukan Angkat Berat.
Sejak tahun 1950 sehingga 1990 hanya 2 sukan yang menyumbangkan pingat kepada negara iaitu Angkat Berat dan Badminton secara berasingan. Tahun 1994 merupakan pertama kali kedua-dua sukan tersebut menyumbangkan pingat bersama-sama. Sukan Komanwel 1994 menyaksikan kontinjen negara memperolehi 7 pingat iaitu 2 pingat emas, 3 perak dan 2 gangsa iaitu 6 pingat dari acara badminton dan 1 dari sukan angkat berat.  Dengan kutipan 7 pingat tersebut menjadikan jumlah keseluruhan yang telah berjaya diperolehi sejak tahun 1950 adalah sebanyak 36 pingat.
Kuala Lumpur ’98 bukan sahaja telah berjaya dianjurkan oleh negara dengan cemerlang tetapi lebih membanggakan ialah kejayaan para atlet negara mencipta sejarah dengan menduduki tempat keempat keseluruhan di antara 70 buah negara anggota Komanwel. Kontinjen Malaysia telah berjaya memperolehi 10 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa yang berjumlah 36 kesemuanya dan ini telah menyamai keseluruhan pingat yang diperolehi sejak dari tahun 1950 hingga 1994.
Prestasi atlet negara di Sukan Komanwel meningkat dengan jumlah pungutan pingat bertambah dari satu temasya ke temasya berikutnya. Di Sukan Komanwel Melbourne 2006, kontinjen negara memperolehi 7 pingat emas menerusi sukan badminton (4), boling padang (2) dan satu dari angkat berat. Antara penyumbang pingat emas berkenaan adalah pemain badminton Dato’ Lee Chong Wei, atlet angkat berat Mohd Faizal dan Siti Zalina Ahmad (boling padang).
Pada Sukan Komanwel New Delhi 2010 pula, atlet negara melepasi sasaran yang ditetapkan apabila memungut 12 pingat emas, pencapaian terbaik negara pada temasya berkenaan. Empat pingat emas disumbangkan menerusi badminton, menembak (dua), angkat berat (dua) dan masing-masing pingat emas dari sukan berbasikal, akuatik terjun, gimrama dan skuasy.

D) Sukan SEA

Temasya Sukan SEA/SEAP adalah merupakan temasya sukan dwi tahunan yang dipertandingkan di antara negara-negara anggota Persekutuan Sukan SEA (SGF).  Sebanyak sepuluh (10) negara menjadi anggota dan temasya ini juga turut menjemput Negara Timor Leste untuk turut mengambil bahagian.
Temasya ini telah dianjurkan sejak tahun 1959 yang dikenali sebagai Sukan SEAP telah ditukarkan nama kepada Sukan SEA apabila Indonesia, Brunei Darussalam dan Filipina menganggotai SGF pada tahun 1977. Temasya ini telah dianjurkan secara bergilir-gilir di antara negara-negara SGF.
Prestasi kontinjen negara di temasya-temasya Sukan SEA seringkali menjadi bualan ekoran dari tidak konsistennya pencapaian kontinjen negara di temasya-temasya tersebut. Ini adalah kerana temasya Sukan SEA seringkali dijadikan sebagai temasya untuk memperkenalkan dan mempertandingkan sukan-sukan yang memberi kelebihan kepada negara tuan rumah.  Justeru itu, bagi temasya-temasya yang mempertandingkan sukan-sukan yang tidak menyebelahi kontinjen negara, maka pencapaian dan prestasi kontinjen akan tidak memberangsangkan.
Sukan Sea 2001 pasti akan menjadi ingatan bukan sahaja kerana Kuala Lumpur menjadi tuan rumah tetapi juga kerana pencapaian 111 pingat emas yang diraih oleh atlet negara – pungutan tertinggi pembabitan kontinjen negara di temasya dwitahunan rantau ini. Pada temasya 2001 itu, kontinjen negara juga mencatat 75 pingat perak dan 85 gangsa dan peningkatan terus dicatat oleh atlet negara pada temasya Sukan Sea seterusnya.
Sukan Sea Vietnam 2003 menyaksikan Malaysia memungut 43 pingat emas diikuti dengan 61 pingat emas di temasya Manila 2005. Namun pencapaian terbaik negara di luar Kuala Lumpur ialah di Sukan Sea Korat 2007 apabila meraih 68 pingat emas, 52 perak dan 96 gangsa.
Sukan Sea Laos 2009 pula dikenang kerana pencapaian skuad bola sepak negara menamatkan penantian kilauan pingat emas selama 20 tahun dengan memenangi ibu segala pingat emas temasya berkenaan. Secara keseluruhan jumlah pungutan pingat emas merosot kepada 40 pingat emas sahaja kerana kurangnya jumlah sukan yang dipertandingkan selain tuan rumah mempertaruhkan banyak jenis sukan tempatan.
Sukan Sea Indonesia 2011 pula menyaksikan negara memungut 58 pingat emas dan paling menggembirakan ialah apabila berjaya mempertahankan pingat emas sukan bola sepak, apabila menewaskan pasukan tuan rumah di final.
Temasya Sukan Sea, Nay Pyi Taw, kontinjen negara telah melepasi sasaran dengan meraih 43 pingat emas, 38 perak dan 77 gangsa. Malaysia kehilangan 28 pingat emas ekoran daripada pihak tuan rumah yang tidak mempertandingkan sukan-sukan yang menjadi kekuatan kontinjen Malaysia.

E) Sukan Malaysia (SUKMA)
Sukan Malaysia (SUKMA) dipertandingkan secara dwi-tahunan yang merupakan kejohanan temasya yang terbesar dan berprestij di negara ini. Kejohanan ini diadakan berselang-seli dengan Sukan SEA bagi tujuan mencungkil bakat-bakat baru atlet yang berpotensi tinggi untuk mewakili negara.
Sukan Malaysia terbit daripada cadangan yang diketengahkan oleh YB. Saudara Anwar Ibrahim, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika itu pada tahun 1983. Pada mulanya ia hanya melibatkan sukan tennis, ping pong, lumba basikal, olahraga dan bola tampar, tetapi oleh kerana sambutan yang menggalakkan, maka jenis dan bilangan sukan telah ditambah.
Konsep Sukan Malaysia adalah untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu di kalangan masyarakat yang berbilang kaum sama ada di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. SUKMA juga mengamalkan konsep pensyarikatan Malaysia di mana pengelolaan akan melibatkan pihak kerajaan, badan-badan Sukan, Majlis Sukan Negara Malaysia dan pihak swasta dari segi penajaannya.
Penyertaannya peringkat awal dibuka untuk peserta berumur 21 tahun ke bawah, bagi atlet-atlet yang tidak berada di dalam Program Jaya ’98 (iaitu program penyediaan atlet untuk Sukan Komanwel 1998) manakala atlet-atlet di dalam Program Jaya ’98 tiada had umur dikenakan. Semua penyertaan adalah mengikut Majlis Sukan Negeri-Negeri dan Majlis-Majlis Sukan Tentera, Polis, Universiti, manakalan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia adalah sebagai kontinjen jemputan.
Sukan Malaysia kali pertama dan kedua telah diadakan sekitar Lembah Klang di mana Majlis Sukan Negara Malaysia menjadi pengelolanya. Sukan Malaysia ketiga dan seterusnya telah ditawarkan kepada negeri-negeri untuk menjadi tuan rumah. Pada satu peringkat tuan rumah ditentukan secara bida sebagaimana temasya-temasya Sukan antarabangsa yang lain. Selepas kajian dibuat dan dengan mengambilkira kos yang terpaksa dibelanjakan oleh negeri-negeri yang berkeinginan untuk tuan rumah dalam proses bida ini telah meningkat dengan begitu ketara, keputusan baru telah dibuat dengan memberhentikan proses bida dan telah digantikan dengan proses penggiliran mengikut zon.
Sukan Malaysia sudah menjadi medium yang penting dalam menaikkan nama negeri dalam arena Sukan dewasa ini. Kerajaan Negeri telah bersedia untuk membelanjakan peruntukan yang besar bagi persiapan kontinjen, penyertaannya termasuk juga pemberian ganjaran kemenangan dalam konteks Sukan Malaysia hari ini.
Kos untuk mengelolakan temasya ini juga kian kali kian meningkat dengan begitu besar, apa lagi setiap negeri yang menjadi tuan rumah ingin menjadi penganjur yang terbaik setiap kali menjadi tuan rumah. Kepentingan yang tinggi tersebut telah mengenepikan soal kos yang hanya menjadikan keutamaan kedua. Setiap kali SUKMA baru akan bermula setiap kali itu pula resolusi-resolusi dan peraturan-peraturan baru diimplimentasikan bagi memenuhi keperluan semasa. Sebahagiannya daripada perubahannya tidak untuk tujuan jangka panjang atau untuk kebaikan pembangunan Sukan secara kekal, tetapi lebih kepada kebaikan pengurusan pertandingan semasa atau disebabkan kepentingan tertentu dan ianya tidak konsisten.
Walaupun begitu, Negeri Terengganu telah menjadi penganjur yang pertama yang tidak mengambil kesempatan kepada situasi ini dalam menjadikan penganjur kejohanan yang paling berintegriti. Malah telah dibuktikan sepanjang temasya berjalan Jawatankuasa Juri Rayuan Induk dan Jawatankuasa Disiplin tidak perlu dipanggil bersidang walau sekalipun untuk menyelesaikan sebarang kes teknikal. Ketelusan tuan rumah dalam pengadilan dibuktikan lagi contohnya dalam satu Sukan subjektif Pencak Silat, peserta tuan rumah telah tewas dengan 0.05 mata, yang kalau kemenangan diberi kepada peserta ini pun, tidak akan timbul isu yang besar, namun tuan rumah tetap tidak mendesak untuk merubah atau mempengaruhi keputusan tersebut malah menerimanya secara ‘gentlemen’. Sebahagian besar kemenangan atlet tuan rumah datangnya melalui acara-acara dari ‘measurable sports’ yang tidak boleh dipertikaikan keputusannya.
Keputusan pertandingan bagi semua sukan dan di semua venue dapat dilayari dalam internet secara on-line’ dan juga diperolehi secara ‘hard copies’ di semua premis yang telah ditetapkan dengan cepat dan memenuhi sasaran masa tidak lebih daripada tiga (3) minit selepas tamat satu-satu perlawanan. Keputusan juga dikeluarkan secara pertandingan, harian dan keputusan penuh di hari akhir setiap pertandingan. Setiap kontinjen, pengurus pasukan, organisasi, persatuan sukan dan jabatan berkaitan mendapat set keputusan lengkap termasuk dalam bentuk CD sebelum masing-masing berlepas pulang. Perkara ini merupakan satu kekuatan dalam pengelolaan SUKMA kali ini yang telah mendapat pujian daripada semua pihak termasuk media. Maklumat di dalam laman web rasmi juga lengkap sehinggakan pihak media serta juruacara tidak perlu meminta maklumat tambahan lagi daripada seketariat untuk tujuan bahan liputan mereka. Ini pertama kali dalam sejarah SUKMA semua pegawai terlibat termasuk pengurus pasukan dapat membawa balik keputusan lengkap yang memungkinkan mereka membuat penganalisaan pasukan masing-masing dengan lebih tepat. Sebelum ini pengurus pasukan akan membawa balik keputusan bagi atlet-atlet mereka yang bertanding sahaja.
Pada 27 Mei 2010, Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) telah memutuskan bahawa penghormatan pengelolaan Sukan Malaysia (SUKMA) haruslah diamanahkan kepada semua negeri secara bergilir-gilir pada tahun-tahun genap. Pengelolaan Sukan Malaysia (SUKMA) akan dikelolakan oleh Majlis Sukan Negara Malaysia pada tahun ganjil bermula pada tahun 2011. Pengelolaan setiap tahun bertujuan memberi peluang kepada semua jenis sukan untuk bertanding di Sukan Malaysia dan membantu membangunkan sukan secara menyeluruh.
Pra syarat Sukan Malaysia, sukan pilihan yang disenaraikan perlu mengadakan kejohanan remaja dan kebangsaan bagi memastikan semua Persatuan Sukan mampu mengelolakan pertandingan. Pengelolaan Sukan Malaysia setiap tahun mendatangkan manfaat kepada pembangunan sukan bagi memantapkan struktur pengurusannya. Persatuan Sukan Negeri/Kebangsaan turut aktif dengan melaksanakan program-program pembangunan sukan bagi penyediaan atlet.
Pengelolaan Sukan Malaysia setiap tahun mendatangkan kepada pembangunan sukan bagi memantapkan struktur pengurusannya. Persatuan Sukan Negeri/Kebangsaan turut aktif dengan melaksanakan program-program pembangunan sukan bagi penyediaan atlet.
Kalau dilihat dalam kontek pembangunan sukan jangka panjang, masih banyak ruang yang boleh dipertingkatkan lagi. Sokongan kerajaan-kerajaan negeri mungkin lebih membantu kecemerlangan sukan negara melalui SUKMA amnya jika bantuan ini disalurkan berterusan sepanjang dua tahun persiapan, bukan secara praktik masa kini kebanyakan negeri-negeri membuat persiapan setahun sebelum dan bagi negeri-negeri yang kurang peruntukan kewangan , bantuan hanya dapat disalurkan enam bulan sebelum, malah lebih teruk daripada itu ada negeri yang menyediakan pasukan SUKMA mereka tiga bulen sebelum. Ini bermakna tumpuan kepada persiapan atlet dalam persiapan SUKMA masih dikira latihan bermusim dan bukan latihan jangka panjang yang berstruktur.

No comments:

Post a Comment